KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan proses pendaftaran individu berstatus Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta yang mengaku sebagai pelarian yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen (DTI) dapat diselesaikan sepenuhnya akhir 2029.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata usaha melalui Fasa 2 Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) akan dimulkan pada separuh masa kedua tahun ini, dengan proses akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak.
“KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029,” katanya menjawab soalan dibangkitkan Teresa Kok (PH-Seputeh) melalui jawapan disiarkan di laman web Parlimen.
Program DPP bermula 1 Januari lalu, selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23 (Semakan 2023) dengan peranan KDN menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, melaksanakan tapisan keselamatan, menjalankan proses penentuan status dan menentu sahkan status migran yang memohon pelindungan sementara di negara ini.
Pendaftaran Program DPP dilaksanakan Jabatan Imigresen melalui unit khas iaitu Task Force Pendaftaran Pelarian (TPP) dan tidak membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pad itu, Saifuddin berkata 78 tahanan etnik Rohingya termasuk seorang wanita yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor di Perak, diluluskan status pelarian di bawah DPP setakat Jun lalu.
Proses pembebasan mereka, katanya akan dilaksanakan sebaik semua urusan berkaitan diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebagai projek rintis, Program Pekerjaan DPP turut dilaksanakan membabitkan 78 individu yang diluluskan status pelarian itu.
“Daripada jumlah berkenaan, 25 dikenal pasti layak untuk diambil bekerja,” katanya.
Saifuddin berkata, Fasa 1 Program DPP dilaksanakan dengan tumpuan kepada tahanan majoriti warganegara Myanmar etnik Rohingya di DTI seluruh Semenanjung.
“Jumlah keseluruhan tahanan 4,010 orang, merangkumi 4,008 warganegara Myanmar, serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria.
“Jumlah ini membabitkan 2,746 tahanan lelaki dewasa, 632 orang tahanan perempuan dewasa, 392 orang kanak-kanak lelaki dan 240 orang kanak-kanak perempuan.
“Kumpulan ini akan dipindahkan secara berfasa ke PPKPPS di Bidor yang mempunyai kapasiti operasi 400 tahanan satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP),” katanya.
Sehingga Jun lalu, katanya, seramai 128 tahanan warga Myanmar berketurunan Rohingya terdiri 127 lelaki dan seorang wanita dewasa dipindahkan ke PPKPPS Bidor. -BH Online
