KUALA LUMPUR: Dasar Perumahan Negara (DRN) baharu sedang diperhalusi akan menumpukan kepada usaha memperkukuh perancangan perumahan berasaskan data, termasuk menggunakan maklumat pendapatan isi rumah, harga rumah dan permintaan sebenar mengikut negeri dan daerah
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ini kerana negara memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dalam penyediaan rumah mampu milik dengan mengambil kira kemampuan sebenar isi rumah serta faktor setempat.
“Kementerian ambil maklum terdapat pelbagai pendekatan di peringkat antarabangsa dalam mentakrifkan kemampuan memiliki rumah, termasuk ukuran Median Multiple yang digunakan oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu harga rumah sekitar tiga kali ganda pendapatan kasar tahunan isi rumah median.
“Bagaimanapun, bagi konteks Malaysia, kerajaan berpandangan kemampuan memiliki rumah tidak wajar diukur berdasarkan satu had harga nasional semata-mata kerana pendapatan isi rumah, harga tanah, kos pembinaan dan keadaan pasaran adalah berbeza mengikut negeri dan daerah.
“Sehubungan itu KPKT sedang memperhalusi Dasar Perumahan Negara (DRN) baharu yang akan menjadi hala tuju sektor perumahan negara bagi tempoh 2026 hingga 2035,” katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.
null
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-AMPANG] mengenai pelan tindakan untuk memastikan ketersediaan rumah mampu milik menepati definisi Bank Dunia dan PBB, yakni harga jualannya di pasaran di bawah had maksimum RM252,612 (statistik 2024) bersamaan kurang tiga kali ganda pendapatan kasar tahunan isi rumah median negara.
Dalam pada itu, KPKT turut melaksanakan pemetaan harga Rumah Mampu Milik (RMM) sebagai rujukan kepada kerajaan, pemaju dan institusi kewangan bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik lebih responsif kepada kemampuan sebenar rakyat mengikut lokaliti.
Bagi meningkatkan penyediaan dan mengawal harga rumah mampu milik, katanya kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dan sektor swasta melalui beberapa pendekatan.
“Antaranya penyediaan tanah strategik oleh kerajaan negeri termasuk pemberian tanah pada kadar nominal atau secara percuma bagi mengurangkan kos pembangunan; pelaksanaan model pembangunan yang lebih inovatif seperti usahasama, subsidi silang dan pertukaran tanah melalui kerjasama awam-swasta; pemberian pelbagai insentif oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan kepada pemaju, termasuk pengecualian caj pembangunan dan caj pematuhan, bagi mengurangkan kos pembinaan rumah mampu milik.
“Kerajaan juga menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan yang lebih produktif dan cekap seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan kaedah pembinaan moden bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pembinaan dalam jangka panjang,” katanya.
Perkukuh akses pembiayaan
Di samping meningkatkan penawaran, Kor Ming berkata kerajaan memperkukuh akses kepada pembiayaan perumahan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah inisiatif i-Biaya.
“Inisiatif ini menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada pembeli rumah pertama, termasuk individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan usahawan kecil.
“Sehingga 30 April lalu, RM27.4 bilion jaminan pembiayaan sudah diluluskan membabitkan sebanyak 113,222 permohonan, dengan 51 peratus pemohon yang berjaya terdiri daripada golongan berumur 30 tahun ke bawah.
“Bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai rakyat, kerajaan sudah menambah siling jaminan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan pembiayaan SJKP kini berjumlah RM40 bilion,” katanya. -BH Online
