KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi mengakui Malaysia kini berdepan risiko penyusutan pasaran tenaga kerja negara yang berpunca perubahan struktur demografi serta cabaran kesihatan awam yang semakin kompleks.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata situasi ini boleh dianggap sebagai ‘krisis kembar’ membabitkan penurunan kadar kesuburan berterusan serta peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan isu kesihatan mental.
Cabaran ini, katanya mempunyai implikasi langsung terhadap saiz tenaga kerja, produktiviti ekonomi, daya saing negara, perbelanjaan kesihatan serta kemampanan sistem perlindungan sosial dan fiskal negara.
“Sehubungan itu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030 mengambil pendekatan strategik dan bersepadu untuk memastikan Malaysia terus memiliki tenaga kerja yang mencukupi, sihat, berkemahiran dan produktif bagi menyokong aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030,” katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai strategi makro dalam merangka RMK-13 bagi menangani unjuran risiko susutan pasaran tenaga kerja negara.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan memperluas dan mengoptimumkan bekalan tenaga kerja negara dengan mempergiat usaha meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh, khususnya dalam kalangan wanita, warga emas yang masih produktif, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan rentan.
Dalam masa sama, program peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan pembelajaran sepanjang hayat akan diperkukuh bagi memastikan tenaga kerja dapat menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi baharu yang dipacu oleh pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi termaju.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memperluas amalan pekerjaan fleksibel dan mesra keluarga bagi membolehkan lebih ramai rakyat kekal berada dalam pasaran buruh tanpa mengorbankan tanggungjawab penjagaan keluarga.
“Kerajaan meningkatkan produktiviti tenaga kerja melalui pembangunan modal insan yang sihat dan berkualiti, di mana RMK13 mengiktiraf produktiviti bukan hanya bergantung tahap kemahiran, tetapi turut dipengaruhi status kesihatan fizikal dan mental rakyat.
“Oleh itu, pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan, Agenda Reformasi Kesihatan serta strategi pencegahan penyakit tidak berjangkit akan diperkukuh bagi memastikan rakyat kekal sihat dan produktif sepanjang kitaran hayat.
“Usaha ini termasuk memperluas saringan kesihatan, memperkukuh penjagaan kesihatan primer, meningkatkan intervensi kesihatan mental di peringkat komuniti dan institusi pendidikan, serta menggalakkan budaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit kronik yang semakin membimbangkan dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Persekitaran lebih kondusif
Tambah Akmal Nasrullah lagi, persekitaran lebih kondusif diwujudkan untuk pembentukan keluarga dan kelahiran, selepas menyedari penurunan kadar kesuburan bukan sahaja isu demografi, tetapi juga berkait rapat kos sara hidup, kos penjagaan anak, akses kepada perumahan dan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
“Pelbagai inisiatif akan terus diperkukuh termasuk penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih mampu milik, penggalakan amalan kerja fleksibel, penyediaan perumahan yang sesuai untuk keluarga muda serta penambahbaikan sokongan kepada ibu bapa bekerja.
“Pendekatan ini selaras dengan usaha membina masyarakat yang lebih inklusif dan mesra
keluarga,” katanya.
Selain menangani risiko penyusutan tenaga kerja, Akmal Nasrullah berkata RMK13 turut memberi penekanan kepada pembangunan Ekonomi Perak sebagai strategi jangka panjang bagi memanfaatkan potensi penduduk yang semakin menua.
Warga emas yang masih aktif dan berkemahiran, katanya akan terus diberi peluang untuk menyumbang kepada ekonomi melalui pekerjaan fleksibel, keusahawanan, pemindahan ilmu dan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.
“Dalam masa sama, sektor penjagaan, teknologi kesihatan, penjagaan jangka panjang dan perkhidmatan berkaitan warga emas akan dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat,” katanya. -BH Online
