Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat kini mempunyai akses kepada kemudahan kredit yang lebih berpatutan selain menikmati pengeluaran wang tunai tanpa caj di mesin pengeluaran automatik (ATM) antara bank susulan pelaksanaan Kad Kredit Asas dan pemansuhan caj RM1 bermula 1 Julai lalu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen industri perbankan dalam menyahut saranan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh keterangkuman kewangan serta meringankan beban rakyat.

“Kad Kredit Asas akan memberi pilihan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan bertanggungjawab kepada rakyat, manakala pemansuhan caj ATM membabitkan lebih 14,000 ATM di seluruh negara.

“Saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan yang menyahut saranan kerajaan MADANI untuk memperkukuh keterangkuman kewangan melalui beberapa langkah termasuk pengenalan Kad Kredit Asas dan pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di ATM bank mulai 1 Julai lalu,” katanya dalam hantaran Facebook, di sini.

Anwar berkata, melalui Kad Kredit Asas itu memberi keutamaan kepada kos pembiayaan yang lebih rendah berbanding ganjaran gaya hidup, dengan kadar pembiayaan dihadkan pada 14 peratus setahun berbanding had tertinggi 18 peratus setahun pada masa ini. 

“Had kredit juga ditetapkan pada paras lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemah.

Beliau berkata, bagi membantu peminjam serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, bank turut menyediakan bantuan bersasar termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman, pengurangan ansuran serta pelanjutan tempoh pinjaman.

“Setakat ini lebih RM4.7 bilion pembiayaan diproses menerusi penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman, manakala kira-kira RM1 bilion diluluskan kepada sekitar 1,500 PMKS melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS.

“Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum dan berpihak kepada rakyat,” katanya. -BH Online