KUALA LUMPUR: Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Smart Recycler Machine (SRM) bermula 1 Julai dijangka dapat meringankan beban kewangan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan institusi perbankan tempatan susulan kekangan jaringan mesin ATM di beberapa kawasan, khususnya di luar bandar dan pedalaman.
“Jika seseorang tinggal di kawasan pedalaman yang hanya mempunyai satu mesin ATM daripada satu bank, mereka terpaksa membayar caj RM1 untuk mengeluarkan wang daripada akaun bank lain.
“Memandangkan bank mempunyai keupayaan untuk menyerap kos tersebut dalam sistem masing-masing, kerajaan menggalakkan pihak bank memansuhkan caj RM1 itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di sini hari ini.
Mulai 1 Julai, pelanggan semua bank di Malaysia tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mana-mana mesin ATM dan SRM di seluruh negara.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) bersama Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memaklumkan langkah itu membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 mesin ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad.-BH Online
