Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT – Proses pengosongan ladang ternakan babi di Tanjong Sepat di sini, kini berbaki 11,000 ekor dan dijangka selesai secepat mungkin.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, jumlah terkini itu meliputi kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi.

Jelas beliau, baki ternakan tersebut belum cukup matang untuk dilupuskan atau disembelih sejak arahan penutupan dikeluarkan Februari lalu.

“Tiada benih (anak babi) baharu dibawa masuk dan semuanya akan disembelih di pusat penyembelihan di Rawang.

“Jadi, proses itu dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan segera selesai nanti,” katanya ketika ditemui pada program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (Wajar) di Surau Haji Hassan, Sijangkang di sini, hari ini.

Kosmo! pada 18 Mei lalu melaporkan semua ladang babi di Tanjong Sepat akan dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan depan sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini kekal berpendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor seperti yang ditegaskan baginda sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, kerajaan negeri akan membantu seramai 87 pengusaha ladang babi terlibat beralih kepada aktiviti pertanian lain selepas operasi ternakan berkenaan dihentikan.

“Saya dan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

“Peralihan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dilaksanakan di atas kawasan seluas 350 ekar (141.64 hektar) berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, satu mesyuarat akan turut akan diadakan pada 9 Jun ini bagi mengenalpasti langkah terbaik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk membantu penternak terutama bagi pemulihan tanah kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE