KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan komited memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata komitmen terbabit sejajar pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga wakil Kabinet Persekutuan dari Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata, pengiktirafan itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan semasa untuk memperbetulkan pendirian rasmi kerajaan terdahulu.
Mengulas lanjut berhubung perkara terbabit, beliau berkata kerajaan sebelum ini tidak membuat sebarang semakan berkaitan hak berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan sebelum ini bukan sahaja tidak membuat semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa.
“Namun, kerajaan hari ini mengiktiraf hak itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan komited untuk melaksanakan semakan kadar baharu pemberian khas kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 Peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah.
Sesi perbincangan khas terbabit diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, walaupun kes berkaitan hak 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap menegaskan supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan tahun ini.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu bermula tahun ini.
Katanya, pendirian itu selari dengan kenyataan rasmi Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 13 November tahun lalu bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus pemberian khas Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“GRS dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan terus menggunakan platform rundingan sedia ada.
“Ini bagi memastikan semakan kadar baharu pemberian khas dapat mencapai angka jauh lebih tinggi sebagaimana hak dan syor yang telah dikemukakan secara rasmi,” katanya.
Sabah tuntut peluasan ruang fiskal
Sementara itu, beliau menambah Sabah menuntut hak dan tambahan hasil itu bagi memperluaskan ruang fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri.
Beliau berkata, peningkatan kadar pemberian khas daripada hanya RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan negeri.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program Rumah Mesra SMJ yang menyaksikan sebanyak 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin sejak 2022 hingga 30 April lalu.
Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada kira-kira 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah.
Menurut beliau, dengan jangkaan peningkatan kadar pemberian khas tahun ini, kerajaan negeri turut menyasarkan pelaksanaan inisiatif tambahan termasuk menaik taraf sistem perpaipan air.
Katanya, ia bagi menangani isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta pembinaan jambatan khususnya di kawasan luar bandar.-BH Online
