Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Dua daripada empat kru helikopter Super Lynx yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi masih ditempatkan di Hospital Melaka, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dengan dua lagi kru yang menerima rawatan awal sudah dibenarkan keluar selepas disahkan keadaan masing-masing stabil.

Beliau berkata, pegawai dirawat di ICU, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz, yang berperanan sebagai Pegawai Taktikal Udara (TACCO), mengalami komplikasi pada paru-paru akibat insiden yang berlaku di perairan.

Sementara Kuarter Master Udara, Bintara Kanan Mohammad Zullfika Mohiddi yang cedera pada pinggang kanan dan betis kanan ditempatkan di zon kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Walaupun kedua-duanya dilaporkan stabil, pemantauan rapi perlu diteruskan khususnya membabitkan insiden yang berlaku di perairan.

“Dua lagi kru yang sudah dibenarkan keluar hospital ialah Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali, masing-masing berperanan sebagai juruterbang dan pembantu TACCO,” katanya ketika menziarahi empat kru berkenaan di hospital hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan sedang berusaha mendapatkan kerjasama antara Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut di Perak bagi memindahkan mangsa yang dirawat di Zon Kuning ke hospital berkenaan sekiranya keadaan mengizinkan.

Bagi pegawai yang ditempatkan di ICU pula, beliau berkata pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan tahap kesihatan mangsa benar-benar stabil.

Dalam pada itu, Adly menegaskan kebajikan anggota terbabit menjadi keutamaan kementerian, termasuk memastikan segala keperluan perubatan dan sokongan diberikan sepenuhnya.

Mengulas siasatan kejadian, beliau berkata satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden, merangkumi semua aspek termasuk teknikal, operasi dan logistik, selain memastikan tahap keselamatan aset serta anggota sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, operasi menyelamat dan membawa keluar bangkai helikopter yang terlibat sedang dilaksanakan, dengan bantuan logistik sebelum aset berkenaan dibawa ke Lumut bagi penilaian teknikal lanjut selepas operasi salvaj selesai.-BH Online