TEMERLOH: Kerajaan Pahang memberi jaminan tidak akan menaikkan harga rumah Skim Perumahan Rakyat Malaysia (PR1MA), Rumah Makmur serta semua skim perumahan mampu milik negeri itu meskipun kos bahan binaan terus meningkat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata komitmen itu penting bagi memastikan rakyat terus berpeluang memiliki kediaman pada harga yang munasabah tanpa terbeban dengan kenaikan kos
Beliau berkata kerajaan negeri kekal konsisten menyediakan rumah mampu milik berkualiti sambil memastikan kemampuan pembeli menjadi keutamaan.
Selain mengekalkan harga, katanya kerajaan turut menambah baik reka bentuk projek perumahan dengan memperkenalkan pembinaan rumah teres PR1MA Pahang pada fasa akan datang.
“Kita tidak menaikkan harga rumah walaupun kos binaan meningkat kerana rakyat tidak boleh dibebankan.
“Disebabkan permintaan tinggi dan keluasan tanah semakin terhad, kerajaan negeri akan membina rumah teres PR1MA supaya lebih ramai berpeluang membeli,” katanya pada Program Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sanggang dan Pelancaran Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang serta Rumah Makmur Pahang di Kampung Sanggang, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan Lembaga Perumahan Negeri Pahang (LPNP) menilai rekod pemaju bagi mengelakkan projek terbengkalai yang akhirnya merugikan rakyat.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 28,771 unit rumah bernilai RM2.1 bilion dibina menerusi pelbagai skim termasuk PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Rakyat Pahang, PRR dan Ru’RASA.
Katanya, kerajaan negeri juga terus memperluas skim perumahan termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.-BH Online
