NILAI: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) disaran mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan 91 negara yang mempunyai persatuan silat bagi mempromosikan seni mempertahankan diri itu dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan silat di peringkat antarabangsa dan memastikan seni bela diri warisan Melayu itu diiktiraf sebagai acara sukan global.
Katanya, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang juga Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa, diyakini mampu memimpin usaha berkenaan bersama Presiden PESAKA dan presiden persatuan silat dari seluruh dunia.
“Saya yakin Presiden Prabowo akan dapat bersama-sama dengan Presiden PESAKA dan lain-lain Presiden Persatuan Silat di semua benua yang mewakili 91 negara ini agar dapat membawa perkara ini.
“Kita mengharapkan lebih banyak lagi negara yang akan mempunyai persatuan pesilat maka mungkin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) nanti boleh mempertimbangkan untuk silat dibawa sebagai satu daripada acara dipertandingkan di peringkat Olimpik,” katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Himpunan Silat PESAKA Malaysia dan Kejohanan Silat Kebangsaan Kali Ke-21, di N9 Arena, di sini, petang tadi.
Turut hadir, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Jelas beliau, ketika ini terdapat 414 persatuan atau perguruan silat berdaftar di seluruh negara dan Malaysia bersedia memainkan peranan memperluas pengiktirafan seni mempertahankan diri itu ke peringkat global.
Menurut Ahmad Zahid lagi, bagi menjadikan silat sebagai acara Olimpik, ia perlu mendapat pengesahan daripada IOC.
“Saya berharap sekurang-kurangnya tiga perempat negara di dunia dapat menceburi sukan silat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain, berkata pihaknya menyambut baik saranan dan cabaran yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.
Beliau berkata, sebelum ini PESAKA telah berunding dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan hasilnya silat telah dipertontonkan sebagai acara demonstrasi ketika temasya Sukan Olimpik Paris yang lalu.
“Saya fikir memang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat-amat serius ingin melihat agar silat dapat ditandingkan di peringkat Olimpik.
“Alhamdulillah, kita telah sampai ke penghujung, kita telah berunding dengan OCA dan untuk makluman, sewaktu Olimpik Paris yang lepas, Alhamdulillah silat telah dipertontonkan sebagai acara demonstrasi,” katanya.
Menurut Megat Zulkarnain, maklum balas yang diterima daripada pemimpin Olimpik dunia sangat positif, sekali gus membuka ruang untuk silat disenaraikan secara rasmi dalam temasya akan datang.-BH Online
