Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah RM100 (SARA RM100) kepada 22 juta rakyat Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, pada Februari tahun depan adalah kejutan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu tidak dinyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos lalu, tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

“Seramai 22 juta rakyat kali pertama menerima bantuan SARA bernilai RM100 sempena Bulan Kebangsaan dan akan terima sekali lagi menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan Februari depan.

“Ini kejutan daripada Perdana Menteri kerana ia tidak dinyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Belanjawan 2026 membuktikan kejayaan awal Kerajaan MADANI mengurus kewangan negara serta pelaksanaan pelbagai rasionalisasi subsidi.

Beliau berkata, kerajaan akhirnya dapat memulangkan manfaat kepada rakyat, selepas melakukan beberapa langkah termasuk rasionalisasi subsidi sejak dua tahun lalu.

Menerusi penjimatan itu, katanya, kerajaan mampu menyalurkan pelbagai bantuan, termasuk memperkenalkan inisiatif baharu bagi meringankan beban kos sara hidup.

“Selain pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak empat kali setahun, penerima juga diberi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setiap bulan.

“Ini adalah bantuan cukup besar diberi kepada penerima yang akan dapat meringankan beban kehidupan mereka,” katanya.-BH Online