Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi memperkukuh kecekapan operasi, menembusi pasaran global dan membina daya saing mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata teknologi seperti AI, automasi dan digital twins kini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk memastikan PKS kekal relevan dalam landskap industri serantau yang pesat berubah.

Beliau berkata, AI misalnya, sudah digunakan secara meluas bagi penyelenggaraan prediktif, kawalan kualiti, pemperibadian pelanggan dan pengoptimuman rantaian bekalan.

Malah, katanya terdapat syarikat yang menggunakan robot berkuasa AI untuk mengesan kecacatan pembuatan pada peringkat awal bagi memastikan kualiti produk yang konsisten serta mengurangkan pembaziran. 

Menurutnya, antara contoh kejayaan tempatan ialah sebuah pengedar elektrik B2B di Malaysia yang melaksanakan Automasi Proses Robotik (RPA) bagi menambah baik operasi kewangan, termasuk pemprosesan invois dan penilaian kredit.

“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan urusan, malah meningkatkan ketepatan dan pengalaman pelanggan membolehkan PKS tersebut berkhidmat dengan lebih efisien kepada pelanggan multinasional,” katanya ketika ucaptama penutup Forum Ekonomi PKS ASEAN di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut menyentuh potensi Komputasi Kuantum yang mampu menyelesaikan masalah pengoptimuman kompleks dalam logistik, sains bahan dan analitik ramalan.

Beliau berkata, walaupun teknologi itu masih di peringkat awal untuk PKS, sudah ada platform yang menawarkan alat penjadualan pintar dan pengoptimuman sumber, membolehkan PKS mensimulasikan senario pengeluaran dan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap gangguan rantaian bekalan. 

Selain itu, katanya IoT digunakan oleh PKS tempatan bagi memantau peralatan, penggunaan tenaga dan inventori secara masa nyata melalui penderia digital.

“Keterlihatan data secara langsung membantu mempercepat keputusan perniagaan dan mengurangkan risiko operasi,” katanya. 

Tengku Zafrul turut menekankan potensi AI Generatif (GenAI) dan Digital Twins, yang digunakan untuk mereka bentuk produk, mencipta kandungan pemasaran serta menjalankan simulasi maya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat PKS dalam bidang reka bentuk dan prototaip yang menggunakan GenAI untuk menghasilkan model produk, mensimulasikan prestasi serta mencipta bahan pemasaran secara automatik, mempercepatkan masa ke pasaran dan meningkatkan keterlihatan jenama.

“kerajaan melalui MITI akan terus memperkukuh dasar serta insentif bagi membantu PKS mempercepat penggunaan teknologi baharu, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan inovasi,” katanya.-BH Online