KUALA LUMPUR, 25 September -Sidang Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-13 menegaskan platform itu kekal penting bagi ASEAN dan negara peserta lain dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, menangani cabaran baharu serta meneroka peluang pertumbuhan inklusif dan mampan.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, EAS berfungsi sebagai tonggak utama dalam memperkukuh kerjasama, selain membantu rantau ini menavigasi cabaran dunia saling berhubung.
Beliau menjelaskan, berdasarkan statistik awal ASEAN, jumlah perdagangan dengan negara peserta EAS bukan ASEAN mencecah AS$1.9 trilion, manakala pelaburan langsung asing (FDI) direkodkan sebanyak AS$92.8 bilion tahun lalu.
“Angka ini mengesahkan kedudukan negara-negara peserta sebagai rakan ekonomi dipercayai ASEAN, serta menunjukkan potensi besar untuk memperdalam perdagangan, pelaburan dan keterhubungan masyarakat di rantau ini,” katanya pada sesi Working Lunch – 13th East Asia Summit Economic Ministers’ Meeting, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), ibu negara.
Mesyuarat turut membincangkan prospek ekonomi serantau dan global bagi 2026, pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030, serta menilai perkembangan ekonomi terkini dan kesannya terhadap agenda perdagangan, pelaburan dan integrasi ASEAN.
Tengku Datuk Seri Zafrul menegaskan kepentingan semua negara anggota kekal berfokus kepada keutamaan bersama, tidak terpesong daripada objektif, serta mengamalkan dialog terbuka dan konstruktif untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini demi manfaat masyarakat ASEAN dan Asia Timur secara keseluruhan.-Berita RTM