Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kakitangan PETRONAS menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan bagi mengancam fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak. 

Beliau berkata, setakat ini pihak polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menghantar mesej terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa ada warga kerja PETRONAS dari ibu pejabat yang menerima SMS ugutan itu.

“Ia menggunakan nombor telefon dari Indonesia. Tapi siapa (penghantar mesej terbabit), polis masih siasat,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan dan Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketat langkah keselamatan berikutan satu ancaman yang tidak diperincikan.

MKN dalam kenyataan berkata, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung ancaman berkenaan. 

Mengulas lanjut mengenai SMS ugutan itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata pihak terbabit meminta maklum balas berhubung ‘sesuatu’ namun disebabkan tiada respons (maklum balas), ancaman sedemikian dibuat.

“Dia minta jawab sesuatu tapi sebab tidak ada respons, dia ugut untuk bakar LNG kita, tapi tidak tahu (tak dapat dipastikan) LNG yang mana satu (disasarkan).

“Kita juga tidak tahu sama ada (ugutan) itu membabitkan LNG Bintulu (Sarawak) atau Sabah, sebab ia hanya menyatakan dalam konteks LNG,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya, langkah berjaga-jaga sudah diambil, malah MKN sudah mengarahkan supaya kawalan keselamatan dilakukan di semua fasiliti LNG di Sabah dan Sarawak. 

Untuk rekod, Bintulu adalah lokasi strategik bagi kemudahan LNG Malaysia dan menjadi hab utama eksport tenaga negara.

PETRONAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi LNG syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.

PETRONAS turut menegaskan memandang serius terhadap ancaman diterima dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi berkenaan.-BH Online