Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu graduan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan saja memenuhi keperluan industri, malah menikmati gaji premium yang lebih tinggi setaraf dengan kepakaran mereka.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dengan adanya tenaga kerja mahir tempatan, pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia tidak perlu membawa pekerja dari negara asal mereka atau dari negara lain untuk menjadi tenaga kerja berkemahiran.

Setakat ini, Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata, jumlah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di institusi TVET mencecah 436,000 orang, meningkat berbanding 407,000 orang tahun sebelumnya.

Katanya, pada Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang diadakan hari ini telah mengambil beberapa keputusan supaya semua syarikat dapat menyatakan bidang kemahiran yang diperlukan mengikut guna tenaga atau tenaga pekerjaan.

Menurutnya, sesi itu juga memutuskan agar kursus yang diadakan mendapat pengiktirafan daripada badan berkelayakan.

“Kita juga telah memutuskan supaya tindakan susulan dilakukan termasuk mengemukakan program TVET dalam kalangan banduan dan penagih untuk diadakan kursus khas buat mereka agar mereka juga menjadi tenaga yang berkemahiran dalam bidang tertentu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama GLC dan GLIC di sini, hari ini.

Sesi itu diadakan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Julai 2025 yang bersetuju agar GLC dan GLIC memainkan peranan lebih aktif dalam memberi peluang latihan kepada pelajar TVET.

Langkah itu amat penting untuk membolehkan TVET di Malaysia beralih daripada model yang dipacu oleh kerajaan, kepada model yang dipacu oleh industri.

Sekretariat Majlis TVET Negara percaya bahawa kejayaan TVET hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi latihan. 

Dengan semangat kerjasama itu, Malaysia mampu melahirkan tenaga kerja cekap, inovatif dan bersedia meneroka peluang baharu, sekali gus merealisasikan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 serta menjadikan Malaysia sebuah negara maju, inklusif dan berdaya tahan.

Sesi perbincangan meja bulat itu bertujuan menyelaraskan pembabitan GLC dan GLIC dalam memperkasa TVET dengan memberi fokus kepada empat dimensi utama iaitu pelaburan langsung dalam pembangunan TVET, pembabitan strategik dalam reka bentuk kurikulum, penyediaan peluang latihan industri, biasiswa dan penempatan kerja serta peneraju inisiatif kerjasama berimpak tinggi.

Sesi itu menyaksikan penyertaan kukuh pelbagai pihak meliputi 14 GLC, satu GLIC, lima agensi kerajaan serta lapan institusi TVET. 

Antara GLC yang hadir termasuk PETRONAS, Prasarana Malaysia Bhd, Telekom Malaysia, TNB dan Malaysia Aviation Group, manakala Khazanah Nasional Bhd mewakili GLIC. 

Turut serta ialah agensi utama seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta institusi TVET seperti Politeknik, Kolej Vokasional, ADTEC, GIATMARA dan Universiti DRB-HICOM.-BH Online