KUALA LUMPUR: Seramai 139 mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara masih terkandas terutama di Myanmar, Kemboja dan Laos setakat 4 Julai lalu.
Mereka antara 672 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan yang dilaporkan sejak 2021 hingga 4 Julai lalu dan daripada jumlah itu 533 orang atau 79 peratus termasuk 102 wanita berjaya diselamatkan.
Mangsa diselamatkan yang berasal dari Johor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 113 orang atau 21.2 peratus, diikuti Selangor 112 orang (21 peratus) dan Sarawak 92 (17 peratus) dengan Perlis tidak mencatat sebarang laporan mangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata seramai 517 atau 97 mangsa berusia lebih 18 tahun, manakala bakinya adalah mangsa bawah umur membabitkan sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.
Tegasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara yang memperdaya warganegara Malaysia khususnya membabitkan belia.
Beliau berkata KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh usaha bersepadu bagi menyelamatkan mangsa, menumpaskan sindiket serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah ini.
“Statistik mengikut pecahan kaum berdasarkan jumlah mangsa secara keseluruhan (672 orang mangsa) merekodkan majoriti mangsa terdiri daripada kaum Cina seramai 531 orang (79 peratus), diikuti Melayu 86 orang (12 peratus), Iban 32 orang (lima peratus), India 18 orang (tiga peratus, serta kaum lain (satu peratus) termasuk Singh, Kadazan dan Serani,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin berkata KDN komited untuk terus memperkukuh kerjasama antara agensi, memperluas operasi penyelamatan dan mempertingkat kesedaran awam agar rakyat Malaysia dilindungi daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Beliau berkata segala maklumat, aduan dan kerjasama daripada orang awam, NGO, komuniti diplomatik dan agensi swasta adalah amat dialu-alukan dalam usaha menoktahkan segera sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara ini.-BH Online