KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kini terus menggerakkan pelan transformasi Al-Falah 2023-2027 bagi agensi di bawah seliaan beliau.
Terdapat 31 program utama merentas lima teras pelan transformasi Al-Falah yang disusun untuk mencapai Malaysia Madani dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk di Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, ini antara realiti semasa yang perlu dikongsi dengan Ashabul Fadhilah, Murabbi Umah dan masyarakat.
Peranan Murabbi Umah amat diperlukan untuk bersama-sama dengan pucuk pimpinan negara bagi mendidik dan membangunkan masyarakat dengan nilai-nilai Madani.
“Enam prinsip Madani yang disandarkan ialah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan insan.
“Marilah kita bekerja bersama-sama untuk membangunkan umat Islam yang menghayati nilai hormat dan ihsan sesama umat Islam serta hubungan sesama masyarakat bukan Islam,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Madani Ulama Umarah Peringkat Zon Timur, di Masjid Beserah, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pada majlis berkenaan seramai sembilan individu menerima Anugerah Tokoh Imam Mithali, Anugerah Tokoh Guru Takmir Mithali dan Anugerah Tokoh Guru Kafa Mithali peringkat Pahang, Kelantan dan Terengganu. Masing-masing menerima wang tunai RM1,000, piala dan sijil penghargaan.
Mohd Na’im berkata, kerajaan sentiasa berusaha menggerakkan agenda membangunkan Malaysia Madani bagi menyerlahkan prinsip dan nilai selain membentuk masyarakat yang saling bertimbang rasa, bantu membantu, hidup dalam suasana harmoni, menghargai kemajmukan masyarakat yang terdiri dari pelbagai agama, kaum dan bangsa.
Menurutnya, di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah diperkenalkan gagasan kalimah Toyyibah bertujuan membentuk akhlak Islam dalam kalangan masyarakat agar dapat berkomunikasi dengan bahasa yang sopan santun dan berhemah, menjauhkan diri menggunakan perkataan kesat, memaki hamun dan mendatangkan fitnah kepada agama Islam.
Tambahnya lagi, penting untuk kita melahirkan generasi yang boleh menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat.
Umat Islam perlu menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam dalam membangunkan negara madani dengan sentiasa bertoleransi serta bergandingan dengan mereka berteraskan Fiqh At-Ta’ayush.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan beberapa insentif dengan menyalurkan imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir, elaun bulanan guru Kafa, Bantuan Khas Kewangan (BBK) sebanyak RM500 sekali bayar BBK Aidilfitri (RM250) kepada imam, bilal, siak, guru takmir, guru Kafa yang bertugas di Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Seramai 6,361 orang terima di Pahang diikuti 6,620 di Terengganu dan 8,105 di Kelantan. Perdana Menteri pada Belanjawan Madani 2025 menyediakan peruntukan RM2 bilion untuk pengurusan hal ehwal agama Islam,” katanya.-BH Online