Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Selain itu, Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah diumumkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Menerusi penganugerahan itu, kedua-dua tokoh masing-masing menerima pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.

Hadiah kepada tokoh terbabit disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.null

Terdahulu, Mohd Na’im berkata, tema sambutan kali ini iaitu ‘Membangun Ummah MADANI’, adalah bertepatan dengan roh hijrah Rasulullah.

“Tema ini menuntut kita mengangkat semula peranan ummah sebagai ejen rahmat, adil, dan progresif bagi membina sebuah masyarakat yang berteraskan nilai serta berpaksikan akidah,” katanya.

Mohd Na’im berkata, seiring dengan tema hijrah, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggagaskan Pelan Transformasi Al-Falah 2023–2027.

Katanya, pelan transformasi itu bertunjangkan lima nilai hijrah iaitu ilmu, integriti, itqan, istiqamah dan ikhlas sebagai kerangka halatuju strategik pembangunan Islam di Malaysia bertujuan menjadikan pentadbiran Islam lebih mampan, rakyat lebih menyumbang dan komuniti lebih peduli.

“Pelbagai inisiatif sudah digerakkan, antaranya, Majlis Amanat Al-Falah 2025, Program Santuni Komuniti MADANI dan Program Zikir Akbar.

“Semua ini mencerminkan bahawa roh hijrah sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, menyantuni rakyat, memperkukuh nilai dan memperkasa masyarakat,” katanya.

JAKIM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tema sambutan itu menepati elemen keterangkuman dalam membina masyarakat bertamadun bukan saja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang dari aspek kerohaniannya.

“Sambutan kali ini akan mengetengahkan semangat hijrah, khususnya usaha serta pengorbanan yang dirukuni oleh Rasulullah SAW dalam membangunkan ummah yang berteraskan nilai-nilai murni, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, kehormatan, keyakinan dan ihsan, khususnya dalam meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian,” menurut JAKIM.

Semalam, umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu 1447H dengan penuh penghayatan dan keinsafan melalui Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diadakan di masjid serta surau di seluruh negara.-BH Online