KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk memberikan tajaan biasiswa kepada 300 pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti awam dalam negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif julung kali diperkenalkan kementerian itu bertujuan memberi pengiktirafan dan peluang kepada pelajar lulusan STPM berkelayakan.
“Kita dalam usaha untuk sediakan tajaan biasiswa kepada pelajar lepasan STPM untuk lanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di universiti awam dalam negara.
“Ada 300 tempat disediakan, malah ia turut dibuka untuk tawaran biasiswa masuk ke IPG yang sebelum ini dibuka hanya untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai lepasan STPM untuk bergelar pendidik profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.
Terdahulu, Fadhlina menyampaikan anugerah kepada pelajar dan sekolah cemerlang STPM 2024. Anugerah itu merangkumi beberapa kategori iaitu enam penerima bagi Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2024 aliran Sains, enam Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2024 Aliran Sains Sosial dan seorang penerima Kategori Orang Asli dan tiga pelajar terbaik bagi calon berkeperluan pendidikan khas.
Selain itu, 12 sekolah menengah yang menjadi pusat Tingkatan Enam turut diberikan penganugerahan atas kecemerlangan dari segi prestasi pelajar.
Mengulas lanjut, Fadhlina berharap inisiatif terbabit akan memberi galakan untuk lebih ramai pelajar lepasan STPM menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya harap lepasan STPM boleh mohon (nanti) dan kemudian melihat tawaran ini untuk menyambung pengajian mereka di universiti awam. Ini yang sedang kita beri perhatian iaitu melihat kepada bakat dan potensi yang sudah mencapai keputusan STPM amat baik untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang pendidikan.
“Dalam erti kata lain, kita mahu mengangkat martabat dan kualiti pendidikan negara. Usaha ini perlu diterajui mereka yang benar-benar bersemangat, ada iltizam tinggi dan berkemampuan menyumbang kepada bidang pendidikan,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM turut merancang untuk menambah baik Program Pendidikan Tingkatan Enam di dua universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya, antara perancangan semasa KPM adalah memperluaskan program itu ke beberapa universiti awam lain bagi membolehkan lebih ramai pelajar STPM mendapat peluang merasai kehidupan di kampus.
“Ketika ini, program rintis ini dijalankan di UKM dan USM, mereka tinggal di kampus dapat manfaat sebagaimana mahasiswa lain seperti kemudahan makmal, dapat sertai program dalam kampus diajar oleh pensyarah.
“Proses pembelajaran sama sahaja begitu juga aspek peperiksaan, seperti biasa, cuma kelebihannya suasana pembelajaran adalah dalam universiti. Kita juga berharap dapat tambah baik program ini termasuk pembabitan universiti awam lain seperti UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris),” katanya.
Sementara itu, Fadhlina turut memberikan penjelasan mengenai pekeliling KPM bertarikh 30 April yang mengisytiharkan keputusan A- bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diiktiraf sebagai gred A bagi kemasukan automatik ke program matrikulasi.
Katanya, KPM tidak pernah menyatakan pelajar yang memperoleh A- tidak layak memasuki matrikulasi, sebaliknya mereka perlu melalui proses biasa sebagaimana pelajar lain termasuk penilaian dari segi merit dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK).
“Kita tak pernah keluarkan pekeliling yang mengatakan A- bukan A atau tak cemerlang. Tidak pernah sama sekali kita sebut. Mereka tetap boleh mohon dan akan melalui proses biasa termasuk melalui proses merit,” katanya.-BH Online