Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan beroperasi semula mulai 1 Julai depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkhidmatan yang akan beroperasi dari jam 10 pagi itu kini pada peringkat akhir percubaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

“Projek Aerotrain telah siap dilaksanakan dan pelbagai percubaan dilakukan untuk memastikan keselamatannya.

“(Ketika ini) Aerotrain akan menjalani percubaan dan beberapa ujian akhir, termasuk ujian penting tindak balas kecemasan,” katanya pada sidang media selepas meninjau perkhidmatan itu, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani; dan Ketua Pegawai Operasi MAHB, Gordon Andrew Stewart.

Aerotrain adalah sistem pengangkutan dalaman utama KLIA sejak beroperasi pada 1998, namun digantung perkhidmatan pada Mac 2023 kerana mengalami kerosakan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Aerotrain baharu dilengkapi tiga gerabak itu menawarkan perkhidmatan tahap tinggi dengan kapasiti 270 penumpang bagi setiap perjalanan.

“Dua tren akan beroperasi secara selang-seli. Secara keseluruhan, kita mempunyai tiga set tren dengan dua akan beroperasi sepanjang masa, manakala satu lagi sebagai simpanan,” katanya.

Bagi memastikan Aerotrain sentiasa berada dalam keadaan baik pula, beliau berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi di kedua-dua landasan pada waktu puncak dan satu landasan di luar waktu puncak.

“Kita hendak memastikan tren diselenggara dengan baik bagi aspek keselamatan. Itu sebabnya kita mengambil masa membuat pelbagai ujian, termasuk dipantau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Loke menjelaskan, pengoperasian semula Aerotrain amat penting sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), selain mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Lebih banyak mesyuarat ASEAN akan diadakan, beberapa bulan ini hingga akhir tahun, termasuk satu lagi sidang kemuncak di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan bas perantara tetap diteruskan bagi memastikan kemudahan maksimum kepada penumpang di lapangan terbang berkenaan.

“Kita ingin memastikan pergerakan penumpang dalam KLIA berjalan lancar,” katanya.-BH Online