ISTANBUL: Malaysia mencadangkan perluasan Sistem Keutamaan Perdagangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pengurangan halangan perdagangan untuk memperkukuh hubungan ekonomi sesama negara anggota.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata OIC, sebagai pertubuhan antara kerajaan kedua terbesar di dunia, memiliki potensi besar dalam membentuk kerjasama strategik.
“Kita kini berada di persimpangan penting. Relevannya OIC bergantung kepada kekuatan institusinya, termasuk Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia.
“Malaysia komited terhadap kemajuan hak asasi manusia, khususnya hak ekonomi, sosial, dan budaya, yang menjadi teras pembangunan mampan.
Dengan memberi tumpuan kepada bidang-bidang ini, kita boleh memperkukuh pertumbuhan sosioekonomi yang berdaya tahan dan berterusan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Ke-51 OIC, di sini.
Hadir sama, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha.
Merujuk kepada tema persidangan, ‘”OIC Dalam Dunia Yang Sedang Berubah’, Mohamad berkata pertubuhan itu juga wajar memperluaskan peranannya bagi menangani krisis pelbagai dimensi yang sedang melanda dunia.
“Beberapa krisis ini memerlukan perhatian segera OIC, umpamanya isu Palestin yang masih belum selesai. Ini bukan sekadar kebuntuan politik.null
“Ia adalah satu legasi memalukan hasil penindasan dan pendudukan haram berterusan, yang terus mencetuskan ketidakstabilan dan penderitaan.
“Sekatan ke atas Gaza oleh rejim Israel, kebuluran besar-besaran, halangan terhadap bantuan kemanusiaan, dan pembunuhan orang awam adalah jenayah yang dilakukan secara sistematik di Gaza.
“Jenayah ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan, kerana kekebalan daripada hukuman hanya akan mengukuhkan lagi kitaran keganasan dan pelanggaran hak asasi,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia tetap teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa berusaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Mohamad juga bimbang kerana kes penindasan dan serangan terhadap umat Islam kini berada pada tahap yang membimbangkan.
“Islamofobia yang semakin menjadi kebiasaan telah digunakan sebagai alasan utama ke atas jenayah Israel terhadap Palestin dan Iran, serta penindasan umat Islam di sesetengah negara.
“Malaysia menyeru kepada kerjasama erat antara Duta Khas pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menangani Islamofobia dan Duta Khas Setiausaha Agung OIC, bagi memupuk persefahaman antara agama dan membanteras sikap prejudis serta kebencian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama dipengerusikan Malaysia baru-baru ini, satu kerjasama ekonomi bersejarah telah dimeterai.
Malaysia percaya bahawa kerjasama itu dapat membantu negara membangun mengurangkan kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.-BH Online