Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tiba di Amerika Syarikat (AS) bagi mengadakan rundingan tarif timbal balas menjelang tamatnya tempoh pengecualian sementara pada 8 Julai ini. 

Berkongsikan ketibaannya itu hari ini, Tengku Zafrul berkata fokus utama pasukannya adalah rundingan bagi memastikan akses pasaran yang lebih baik dan menyelesaikan isu-isu berkaitan rantaian bekalan.

Selain itu, beliau berkata misi ini juga bertujuan menarik pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, digital/awan, peranti perubatan, serta sektor hijau dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dan rakan kongsi AS yang dipercayai dalam rantaian bekalan global.

“Kami akan bertemu dengan syarikat-syarikat gergasi AS untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi masuk ke Malaysia, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi untuk rakyat.

“Doakan misi ini berjaya demi kemajuan ekonomi negara kita, Insya-Allah,” katanya.

Misi kali ini menggunakan pendekatan dua lapisan bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa yang dilantik sebagai Ketua Perunding.

Mastura akan mengetuai aspek teknikal, manakala Tengku Zafrul memimpin perbincangan strategik.-BH Online