Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) belum memuktamadkan jumlah sebenar pemain import yang akan digunakan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026, walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan sehingga 15 pemain didaftarkan.

Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya masih lagi dalam perbincangan mengenai kuota pemain import diperlukan dalam skuad Hobin Jang Hobin kerana ia memerlukan penelitian terutama berkaitan posisi pemain terbabit.

“Kita (NSFC) akan tetap gunakan khidmat pemain import dan juga pemain senior, tapi tak sanggup nak beli sampai 15 pemain. Perlu lihat posisi yang sesuai, siapa yang boleh bantu dalam permainan, kedudukan di mana dan itu perkara yang perlu diberikan perhatian. 

“Kita hendak pilih mereka (pemain import) untuk berada di posisi yang betul supaya permainan itu lebih menarik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, MFL membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import, dengan kuota sembilan pemain di atas padang (termasuk simpanan) terdiri daripada empat terbuka, seorang Asia dan dua Asean.

Mengulas lanjut, Aminuddin menjelaskan bahawa NSFC akan sentiasa memberi peluang pemain muda berusia 25 tahun ke bawah untuk berada dalam skuad bimbingan Nidzam Jamil.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan tiada keperluan untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC yang ketika ini memandangkan penyandang jawatan, Faliq Firdaus, menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

“Tiada perancangan, dia (Faliq Firdaus) baharu setahun (menjawat jawatan CEO), beri ruang kepada dia untuk meneruskan agendanya dan saya menyokong penuh langkah yang diambil,” katanya yang mengulas spekulasi di laman sosial dan pandangan pihak tertentu mengenai kemungkinan terdapat pelantikan CEO NSFC yang baharu susulan perubahan kepemimpinan kelab itu, baru-baru ini.-BH Online