PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penularan dadah dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan generasi muda dibincangkan secara serius serta dirangka jalan penyelesaian yang tuntas.
Perdana Menteri menegaskan, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu belum menemui penyelesaian berkesan, meskipun pelbagai pendekatan digerakkan sebelum ini.
“Kita lihat orang Melayu ini (masalah) dadahnya berat, tadi mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang masalah dadah dan vape dalam kalangan anak anak kita, tolonglah bincang, carilah jalan kaedah mana pun.
“Apakah perlu dana? Apakah perlu kaunselin? Perlu dakwah? Beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir (masalah ini) belum selesai.
“Betul ada anak Cina, anak India ramai juga dalam kalangan mereka, tetapi lebih parah dalam kalangan anak Melayu, membunuh jiwa mereka dari kecil. Kenalah lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya ketika berucap pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di sini, hari ini.-BH Online