BANGI: Kepimpinan dan tadbir urus; prestasi dan pembangunan bakat; teknologi dan pendigitalan serta kesejahteraan dan pembabitan warga adalah empat prinsip utama perlu menjadi pegangan seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kepimpinan bukan hanya soal jawatan, tetapi amanah dan tanggungjawab, manakala setiap penjawat awam harus diberi ruang belajar serta berkembang.
“Teknologi penting supaya perkhidmatan kita lebih cekap dan mesra rakyat, manakala kesejahteraan serta pembabitan warga akan membentuk pasukan saling menyokong demi menghasilkan kerja berkualiti,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPWKM 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Farah Adura Hamidi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Mohd Daud Mohd Arif.
Pada majlis ini, 646 warga KPWKM diraikan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu 525 termasuk lapan orang kurang upaya (OKU) diikuti 72 daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 19 daripada Jabatan Pembangunan Wanita serta enam daripada Institut Sosial Malaysia.
Nancy berkata, KPWKM kini berperanan penting menjayakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang bukan saja membabitkan sistem, tetapi juga nilai dan cara kerja penjawat awam membawa perubahan bermakna.
Beliau percaya kementerian itu mampu menghayati nilai HEMAT iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Tadbir Urus Telus dalam setiap tindakan.
“Kadangkala tindakan sekecil menjawab panggilan dengan sopan pun boleh memberi kesan besar kepada imej kementerian,” katanya.
Nancy turut mengingatkan warga KPWKM supaya terus mengamalkan konsep integriti, ikhlas dan islah sebagai asas melestarikan kecemerlangan selari dengan aspirasi kerajaan memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam secara holistik. – BERNAMA