Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN wajar menolak fahaman nasionalisme yang sempit, sebaliknya perlu menjadikan kelestarian dan keterangkuman sebagai teras bagi setiap tindakan demi menjamin kesinambungan masa hadapan yang selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini kerana, pendekatan multilateralisme dilihat semakin tertekan akibat gelombang fahaman pemencilan yang melanda dunia.

Beliau berkata, masa depan ASEAN tidak boleh dibina atas kepentingan eksklusif setiap anggota, sebaliknya, perlu berpandukan komitmen bersama terhadap komuniti rantau itu.

Mengambil contoh krisis di Myanmar, katanya, ia adalah isu yang menguji tanggungjawab moral ASEAN, menggugat keselamatan serantau dan mencabar kredibiliti ASEAN.

“Kesan sampingan dialami negara jiran akibat krisis ini tak dapat dinafikan. Asia Tenggara berdepan tekanan hebat susulan gabungan ancaman jenayah rentas sempadan, penipuan pekerjaan dan krisis pelarian yang semakin mendesak.

“Kita terus mengambil langkah tegas bagi memastikan penyelesaian pragmatik dapat dicapai. Matlamat kita untuk memastikan pembabitan berterusan dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

“Ia bagi meningkatkan penyelarasan bantuan kemanusiaan dan membuktikan kesungguhan ASEAN mencari penyelesaian bersifat pragmatik yang menjadi teras kepada negara di rantau ini berinteraksi, termasuk di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Dialog Hala Tuju Asia Pasifik (APR) Ke-38 yang turut dihadiri Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah di sini, malam tadi.

Mohamad berkata, ASEAN juga tidak boleh berperanan hanya sebagai pemerhati, terutama ketika Asia Tenggara sekali lagi diuji apabila terperangkap dalam perang ekonomi antara kuasa besar dunia, disifatkan sebagai ‘Perang Dingin baharu’, sejak beberapa bulan lalu.

ASEAN, katanya, wajar mengetengahkan suara rantau berkenaan, selain negara anggota perlu menyesuaikan diri dan mengatasinya menerusi kaedah mengubah cara melihat dunia.

“Apabila saya berkata ‘kita’, saya tidak lagi merujuk hanya kepada Asia Tenggara, tetapi seluruh masyarakat antarabangsa. Kita perlu lakukan perubahan menyeluruh terhadap beberapa jangkaan yang menjadi asas kepada multilateralisme.

“Ini termasuk tanggapan dunia akan kembali kepada keadaan ‘normal’ atau mencapai ‘normal baharu’. Era berkenaan sudah berlalu. Kita kini berada di era pasca-normal, di mana gangguan dan ketidakteraturan adalah perkara yang perlu dijangkakan.

“Sudah tiba masanya kita berhenti meletakkan harapan kepada satu pihak untuk membawa kita keluar daripada ketidaktentuan ini.

“Sebaliknya, kerjasama antarabangsa perlu dipupuk, membolehkan kita saling menyokong demi memastikan ketahanan sistem dunia, dengan menjadikannya benar-benar bersifat global,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi tidak dapat berkembang tanpa keamanan, selain menegaskan peperangan dan konflik hanya akan menjejaskan perdagangan global.

“Kita tidak kebal terhadap ketidaktentuan yang berlaku di luar perairan kita. Konflik di luar rantau Asia-Pasifik, sama ada di Eropah, Asia Barat atau Afrika, bukanlah sesuatu yang abstrak atau jauh daripada kita.

“Ia memberi kesan kepada pasaran tenaga, rantaian bekalan makanan, pemerolehan senjata, corak migrasi dan aliran pelaburan global, selain turut mempengaruhi tekanan inflasi, sentimen awam serta menguji ketahanan kerjasama multilateralisme.

“Konflik terbabit mencabar kerangka yang menjadi asas kepada keamanan dan keselamatan di rantau ini. Justeru, kita bertanggungjawab untuk bersuara apabila ketidakadilan menjadi kebiasaan,” katanya.-BH Online