KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura disaran membina satu ekosistem industri bersepadu yang berimpak global, selaras kekuatan pelengkap yang dimiliki kedua-dua negara dalam sektor pembuatan dan teknologi tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata pendekatan itu dapat mewujudkan kerjasama ekonomi serantau yang setara dengan pemain utama dunia seperti Korea Selatan, Taiwan dan China.
“Kita tidak boleh melihat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai semata-mata tempat pemindahan pengeluaran kos rendah dari Singapura ke Johor.
“Sebaliknya, kita harus meletakkan matlamat lebih besar membina sebuah ekosistem tersendiri seperti mini ‘Samsung’, ‘Huawei’ atau ‘TSMC’, hasil kerjasama erat Malaysia dan Singapura,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Singapura anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan Cina Singapura (SCCCI), di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun sering dikaitkan sebagai hab kewangan dan perkhidmatan, kedua-dua negara masih mengekalkan sektor pembuatan sebagai penyumbang lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu kekuatan yang jarang dimiliki oleh ekonomi separa maju lain.
Mengulas cabaran global semasa, Chin Tong berkata landskap ekonomi kini dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik dan pertarungan teknologi antara kuasa besar, namun negara-negara ASEAN berpeluang memainkan peranan sebagai kuasa penstabil ketiga yang berkecuali dan bebas.
Beliau menegaskan, pemikiran lama bahawa negara harus ‘beralih’ sepenuhnya dari pembuatan kepada perkhidmatan atau menjadi pusat kewangan semata-mata adalah lapuk dan perlu diperbetulkan.
“Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) kini sedang membina semula asas perindustriannya, termasuk pemprosesan nadir bumi dan penyumberan semula pengeluaran kritikal,” katanya.
Tambahnya, bahan mentah kritikal kini menjadi tunjang kepada pembangunan semikonduktor, teknologi tenaga boleh diperbaharui serta infrastruktur kecerdasan buatan (AI), dan ia menuntut pendekatan menyeluruh yang melibatkan inovasi bahan baharu dan seni bina cip generasi akan datang.
Dalam konteks ini, Chin Tong turut menekankan keperluan membangunkan ekosistem kewangan yang menyokong inovasi dan teknologi, termasuk kerjasama erat antara badan pemantau seperti Suruhanjaya Sekuriti dan pelabur industri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, ACCCIM dan SCCCI atas inisiatif memperkukuh hubungan dagangan dua hala.
“Kerjasama ini wajar diteruskan dan diperkukuh agar Malaysia dan Singapura terus relevan dalam rantaian bekalan global, seterusnya menambah nilai yang jauh lebih besar daripada saiz geografi kita,” katanya.-BH Online