KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diarah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meneliti kelompongan perundangan sedia ada berkaitan pelupusan kenderaan terbiar di ibu negara dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata tindakan itu perlu disegerakan susulan jumlah aduan awam yang tinggi berhubung kenderaan terbiar di kawasan bandar.
“Di Kuala Lumpur saja, aduan awam berkaitan kenderaan terbiar mencecah lebih 2,500 kes setiap tahun. Ini bukan angka kecil dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
“Namun, kita berdepan beberapa kekangan perundangan, antaranya kenderaan terbiar di premis swasta yang tidak boleh ditunda ke depot pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kenderaan sudah lama berada di depot tetapi masih belum dapat dilupuskan kerana halangan undang-undang,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, semalam.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Car Medic Sdn Bhd, iaitu sebuah pusat rawatan automotif berlesen yang menjalankan pelupusan kenderaan telah dilucut hak, bagi meninjau sendiri pelaksanaan proses pelupusan lebih pantas, teratur dan lestari.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha menegaskan kenderaan terbiar tidak boleh dibiar terus mencacatkan wajah bandar raya.
Justeru, katanya, cadangan penyelesaian tuntas dan menyeluruh perlu dirangka bersama oleh agensi berkaitan.
Beliau sekali gus menggalakkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela agar hadir ke pusat rawatan automotif berlesen.null
“Proses ini mudah dan pemilik akan menerima bayaran tunai berdasarkan keadaan kenderaan,” katanya.-BH Online