Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rancangan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diteruskan seperti yang dirancangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri hari ini mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat.

Menurutnya, terdapat banyak kempen negatif mengenai RON95 dan menjelaskan apa yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah gimik yang menunjukkan bahawa rakyat sedang mengalami kesusahan.

“Sama ada kita akan melaksanakannya (subsidi bersasar RON95)? Ya…kita akan melakukannya, kerana rasionalisasi subsidi adalah sesuatu yang kritikal untuk negara kita.

“Kita mahu mempunyai sumber yang mencukupi untuk membantu golongan miskin, untuk meningkatkan kualiti pendidikan, memberikan perkhidmatan awam yang lebih baik termasuk kesihatan,” katanya ketika ditemui di Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan akan terus melaksanakan subsidi bersasar RON95 atau sebaliknya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.-BH Online