PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyampaikan bantuan segera RM1,000 kepada setiap 10 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Perak, susulan kemalangan ngeri di Gerik semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sumbangan itu diberi melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN).
“Lapan daripada mereka sedang dirawat di Hospital Taiping dan dua di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya kepada media semasa merasmikan Seminar Wanita 2025 ‘EmpowerHER: Engage Energise Elevate’, di sini, hari ini.
Selain itu, Nancy berkata, pihaknya juga akan meninjau bentuk bantuan dan sokongan yang dapat diberikan kepada keluarga mangsa terbabit dalam kemalangan itu dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan kaunselor bertauliah bagi membantu psikologi mereka.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut dan 33 cedera termasuk tujuh parah apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas yang disewa khas pelajar universiti itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada jam 9 malam Ahad lalu dan sedang dalam perjalanan ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak sebelum terbabit kemalangan pada kira-kira jam 1 pagi.– BERNAMA