KUALA LUMPUR: Rizab Antarabangsa Malaysia meningkat sedikit kepada AS$119.6 bilion pada 30 Mei 2025 berbanding AS$119.1 bilion yang dicatatkan pada 15 Mei 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan rizab tersebut memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$106.4 bilion, kedudukan rizab dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) sebanyak AS$5.8 bilion, emas (AS$3.8 bilion) dan aset rizab lain berjumlah AS$2.3 bilion.
Dari sudut ringgit, jumlah aset BNM adalah sebanyak RM627.92 bilion yang merangkumi pelbagai kategori termasuk emas dan pertukaran serta rizab lain termasuk SDR sebanyak RM530 bilion.
Aset lain termasuk kertas kerajaan Malaysia bernilai RM12.92 bilion, deposit dengan institusi kewangan (RM4.26 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM27 bilion), tanah dan bangunan (RM4.58 bilion), serta aset-aset lain berjumlah RM49.16 bilion.
BNM turut menyatakan jumlah keseluruhan modal dan liabiliti juga berjumlah RM627.92 bilion, yang terdiri daripada modal berbayar RM100 juta, rizab RM193.24 bilion, mata wang dalam edaran RM172.9 bilion, dan deposit oleh institusi kewangan sebanyak RM131.81 bilion.
Selain itu, ia turut merangkumi deposit oleh kerajaan Persekutuan (RM5.44 bilion), deposit lain (RM82.37 bilion), kertas Bank Negara (RM10.56 bilion), peruntukan SDR (RM28.38 bilion) dan liabiliti lain berjumlah RM3.12 bilion.— BERNAMA