Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JELI: Faktor kesihatan dan terikat dengan kerja antara alasan yang diberikan 206 peserta yang gagal melapor diri pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata semua mereka terikat dengan Akta Khidmat Negara 2003.

“Kita sudah mengeluarkan senarai nama peserta yang terpilih, namun didapati tidak mendaftarkan diri.

“Setakat ini kita kenal pasti beberapa alasan yang diberikan peserta, termasuk faktor kesihatan dan terikat dengan pekerjaan. Justeru, kita akan melihat secara keseluruhan alasan yang mereka berikan sehingga gagal melapor diri.

“Berdasarkan kaedah yang diguna pakai, kita bukan hanya memaklumkan kepada mereka menerusi notis sebaliknya turut berhubung dengan peserta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Peduli Veteran Madani di sini, hari ini.

Adly berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan selain mendengar pembentangan jawatankuasa Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berhubung isu itu dan akan mencari jalan penyelesaian.

“Kita memang ada akta yang mengikat mereka semua, namun sebelum menggunakan akta berkenaan kita perlu melihat secara keseluruhan justifikasi kenapa mereka tidak mendaftar.

“Jika tiada pilihan, baru kita menggunakan akta berkenaan untuk tujuan mendisiplinkan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JLKN mengingatkan mereka yang terpilih menyertai PLKN 3.0 Siri 2/2025 supaya melapor diri di kem PLKN selewat-lewatnya pada 16 Mei lalu.

JLKN menegaskan, kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan dan kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan yang munasabah atau tanpa pembuktian masalah kesihatan yang disahkan oleh pakar perubatan akan dianggap sebagai ingkar arahan.-BH Online