Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JEJU: Malaysia dan Korea Selatan dijangka menarik lebih banyak pelaburan bersama menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedang diusahakan, khususnya dalam sektor perdagangan seperti elektrikal dan elektronik (E&E), semikonduktor serta automotif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kedua-dua negara akan turut menikmati akses lebih mendalam ke atas pasaran masing-masing sekiranya FTA diwujudkan sebagaimana dirancang.

“Sektor-sektor itu menyaksikan penglibatan aktif syarikat Malaysia dalam ekosistem pelaburan.

“FTA ini akan membuka lebih banyak pasaran dan industri, memberikan akses yang lebih besar kepada peluang pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Tengku Zafrul berkata, walaupun Malaysia merupakan anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut disertai Korea Selatan, FTA dua hala yang dicadangkan itu turut menawarkan lebih banyak peluang khusus bagi kedua-dua negara.

Beliau berkata, memandangkan RCEP adalah perjanjian perdagangan pelbagai hala yang meluas, usaha itu akan diperkukuhkan lagi menerusi FTA Malaysia-Korea Selatan dengan tumpuan komitmen dalam sektor khusus yang tidak ditangani sepenuhnya dalam perjanjian perdagangan serantau berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas isu belum selesai yang menangguhkan perjanjian itu sejak 2019, beliau berkata keadaan itu disebabkan oleh kebimbangan berkaitan kesediaan industri tempatan melakukan liberalisasi ketika beberapa sektor lain dilihat sebagai belum bersedia.

“Kita tidak boleh mendedahkan butiran isu-isu belum selesai itu berikutan perjanjian kerahsiaan yang ditandatangani.

“Bagaimanapun, apa yang saya boleh katakan adalah kita mahu memastikan industri kita bersedia sepenuhnya untuk bersaing dengan industri-industri lain,” katanya.

Pada Khamis, Tengku Zafrul berkata rundingan FTA antara Malaysia dan Korea Selatan kini memasuki fasa akhir dengan sasaran untuk dimuktamadkan ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober depan.-BERNAMA