Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Pemerkasaan sektor pendidikan perlu bermula dari unit paling kecil yang menjadi asas dalam keseluruhan sistem terbabit, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata perubahan dan reformasi sistem itu tidak hanya membabitkan perkara dasar pendidikan, sebaliknya turut berkait perkara asas termasuk interaksi dengan guru-guru yang berkhidmat di lapangan.

Katanya, interaksi yang berkesan di setiap peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kesan besar dan positif kepada usaha pemerkasaan pendidikan serta aspek pengajaran guru dalam kelas.

“Apabila kita membicarakan soal reformasi sekolah, tidak ada tempat lain yang lebih maknanya sesuai unik dan pasti juga memberikan kesan langsung kepada pendidikan dan pembelajaran anak-anak.

“Ia adalah reformasi yang berlaku dalam unit paling kecil atau unit paling fundamental di dalam sekolah iaitu kelas kelas masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54, di sini, hari ini.

Sebanyak enam anugerah disampaikan kepada guru di majlis berkenaan iaitu Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Khas Bitara Bahasa dan Anugerah Khas Menteri Pendidikan.

Penerima masing-masing menerima sijil, plak penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000, RM1,000 dan RM500 mengikut kategori.

Fadhlina berkata KPM akan menambah beberapa lagi kategori anugerah cemerlang selepas ini bagi mengiktiraf sumbangan besar guru dalam pembangunan modal insan.

Katanya, penyampaian anugerah kepada guru yang memberi impak besar dalam sektor pendidikan negara itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada rakan pendidik yang lain.

“Syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga penganugerahan ini menjadi dorongan dan inspirasi kepada guru lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Saya sendiri tekuni setiap satu pencalonan. Ada anugerah yang saya minta untuk ditambah kerana saya tidak sampai hati melihat usaha luar biasa guru-guru ini tidak dihargai,” katanya.-BH Online