PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jawatankuasa Kajian Vape dan Rokok sedang melakukan penelitian berkaitan impak penguatkuasaan perundangan sedia ada serta survelan bagi kes berkaitan implikasi penggunaan vape.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jawatankuasa itu ditubuhkan susulan KKM menerima pelbagai maklum balas berhubung impak vape kepada kesihatan awam.
“Seminggu dua ini, tumpuan saya antara lain meneliti bagi mempertimbangkan gesaan pihak awam, beberapa agensi dan individu yang mahu vape diharamkan.
“Isu ini sedang diteliti melalui Jawatankuasa Kajian Vape dan Rokok yang baru ditubuhkan, ditunjangi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari dan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman (penasihat KKM dalam isu kesihatan awam).
“Jawatankuasa ini akan teliti impak penguatkuasaan perundangan sedia ada dan survelan bagi kes (berkaitan vape) yang menyebabkan implikasi untuk keputusan dibuat berdasarkan bukti.
“Kita juga teliti impak peraturan sedia ada dan selepas itu dibawa kepada jawatankuasa ini untuk lihat apa yang terbaik, sama ada teruskan (peraturan sedia ada) dan cadangan lain dirasakan munasabah,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Auditorium Institut Kanser Negara (IKN), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus; Pengarah Kejururawatan KKM, N Gowry dan Pengarah IKN, Dr Nur Aslina Bahakodin.
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli yang berpandangan penyalahgunaan dadah dalam vape berlaku kerana tiada agensi melakukan pemantauan ke atas pasaran rokok elektronik.
Isu berkaitan pengharaman vape turut hangat diperkatakan susulan tular satu video dimuat naik di TikTok @radzirockrider, pesara tentera udara yang dikenali sebagai ‘Abang Rock’, atau nama sebenarnya, Mohd Radzi Mustaffa, berkongsi bagaimana tekanan kerja membawanya kepada amalan menghisap vape, sehingga jantungnya hanya berfungsi pada kadar tiga peratus.
Lelaki berusia 44 tahun itu sempat merakam mesej menyayat hati meminta orang ramai berhenti daripada tabiat itu, hanya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia pada 7 Mei lalu.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, isu elaun jururawat yang turut dibangkitkan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) masih dalam perbincangan pada peringkat kementerian.
“Saya sudah arahkan perkara ini diteliti. Namun, ia memerlukan sedikit masa kerana masih pada peringkat perbincangan.
“Apa yang kita sedang teliti adalah babitkan elaun pos basik,” katanya.
MNU sebelum ini menggesa kerajaan menyemak semula semua elaun jururawat termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi jururawat yang berkhidmat di luar negeri asal.-BH Online