Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memulakan rundingan tarif timbal balik secara rasmi dengan Amerika Syarikat (AS), esok.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata objektif rundingan itu bukan sekadar bagi mengurangkan kadar tarif tetapi juga dengan sasaran utama untuk memastikan perdagangan antara kedua-dua negara tidak dikenakan sebarang tarif.

Katanya, delegasi Malaysia untuk rundingan itu akan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikenakan tarif, khususnya dalam sektor penting seperti teknologi dan eksport bernilai tinggi.

“Objektif utama rundingan kali ini bukan sekadar bagi mengurangkan tarif sedia ada, tetapi untuk mencapai matlamat penghapusan sepenuhnya atau ‘go to zero tariff.

“Kalau boleh, kita mahu tiada tarif langsung dikenakan ke atas Malaysia. Itu aspirasi kita,” katanya pada sidang media selepas Sidang Khas Dewan Rakyat berkenaan tarif AS di Parlimen, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada persediaan ke arah rundingan, Malaysia dan AS telah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) bagi memudahkan pertukaran maklumat teknikal serta dokumen berkaitan.

Empat isu utama dibangkitkan oleh AS dalam rundingan itu turut dikenal pasti sebagai keutamaan rundingan yang dijangka berlarutan selama beberapa minggu.

Pertama, AS mahu melihat pengurangan tarif terhadap produk yang mereka anggap kurang kompetitif jika dibandingkan dengan import dari Malaysia yang kini menikmati kelebihan kompetitif.

Kedua, AS turut membangkitkan isu berkenaan proses pensijilan Halal Malaysia yang dikatakan mengambil masa lebih lama berbanding negara lain, meskipun ia bukan mempertikaikan keabsahan pensijilan itu sendiri.

Isu ketiga membabitkan kawalan terhadap teknologi sensitif yang diklasifikasikan sebagai ‘teknologi penyelamatan’ (safeguard technologies) yang berasal dari AS dan dibimbangi akan sampai ke negara ketiga melalui Malaysia.

Keempat, Washington turut mahu Malaysia mengawal semula pemberian subsidi domestik dalam bentuk ‘penyelamatan industri’ bagi mengelakkan kesan ketidakseimbangan pasaran kepada syarikat AS.

Dalam menjawab keempat-empat isu berkenaan, Tengku Zafrul berkata, Malaysia menegaskan sebarang pelarasan dasar akan dibuat tanpa menjejaskan keupayaan industri tempatan dan dasar pemeriksaan terhadap industri strategik.

“MITI juga mengumumkan mulai 6 Mei ini, semua Sijil Asal Bukan Keutamaan (NPCO) ke pasaran AS hanya boleh dikeluarkan oleh MITI, bukan lagi oleh dewan perdagangan.

“Langkah ini bagi membendung sebarang kemungkinan berlaku aktiviti penipuan laluan dagangan melalui pihak ketiga,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan juga bersedia menghadapi sebarang siasatan antilambakan sekiranya import murah dari negara lain menyebabkan kecederaan serius terhadap industri tempatan.

“Pendekatan Malaysia adalah berhati-hati tetapi tegas – berunding secara prinsip, tidak tunduk kepada tekanan dan memastikan kepentingan negara menjadi keutamaan.

“Kerajaan juga mengekalkan dasar berkecuali dan multilateralisme, termasuk mengekalkan hubungan erat dengan China walaupun rundingan dengan AS semakin mendalam,” katanya.- BH Online