SHAH ALAM: Kerajaan akan membincangkan keperluan untuk memperluas inisiatif FLYSiswa kepada pelajar di Semenanjung membabitkan pengangkutan darat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sama ada inisiatif itu boleh diperluaskan dengan tidak hanya terhad kepada pelajar yang ingin pulang ke Sabah, Sarawak serta Labuan.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan. Mungkin untuk ‘specific area’ atau kawasan tertentu. Hendak pergi mana perlu bantuan ini? (memperluas FLYSiswa).
“Saya boleh janjikan bahawa kita akan melihat perkara ini,” katanya pada program Temu Anwar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang peserta program itu mencadangkan supaya kerajaan memperluas inisiatif FLYSiswa kepada pengangkutan darat untuk pelajar di Semenanjung.
FLYSiswa adalah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) bawah Kementerian Pendidikan (KPM), bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa antara sebab bantuan FLYSiswa membabitkan pelajar Sabah, Sarawak dan Labuan ialah kerana harga tiket penerbangan kebiasaannya melonjak pada musim perayaan.
Justeru atas dasar itu, beliau berkata, wujud keperluan untuk melaksanakan satu peraturan untuk menyekat kenaikan harga tiket berkenaan.
“Kita perlu memastikan harga tiket adalah munasabah dan tiada eksploitasi. Kalau biasa RM20 namun meningkat jadi RM40 apabila musim perayaan, ia tidak masuk akal,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, program Felo Perdana akan dikembangkan bagi memastikan lebih ramai golongan muda menemui barisan pemimpin dan sarjana negara.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, Akademi Kenegaraan sedang menguruskan aspek penambahbaikan program Felo Perdana di negara ini.
“Tidak semua (golongan muda) tetapi kita bincang untuk dapat pendedahan melalui program dan latihan di mana ada peluang untuk mereka menemui sarjana daripada pelbagai disiplin, pemimpin dan menteri,” katanya.
Program Felo Perdana diperkenalkan pada 2013 bagi memberi peluang kepada peserta belia memahami selok-belok pentadbiran negara dan tanggungjawab berat yang dipikul menteri.-BH Online