Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak kini fokus untuk mencari kaedah menang-menang dalam rundingan berhubung isu membabitkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata rundingan itu membabitkan semua pihak dan tidak menyentuh rangka kerja perlembagaan atau perundangan sedia ada.

Katanya, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, 

rundingan itu membabitkan Peguam Negara (AG) dan Peguam Besar Negeri Sarawak serta PETRONAS dan PETROS.

“Perundingan ini berterusan untuk mencari kaedah menang-menang dan bukannya dalam rangka kerja atau lingkungan perlembagaan dan juga semua peraturan perundangan yang sedia ada.

“Kalau perundingan ada membabitkan soal perundangan, ia hanya boleh diselesaikan melalui mahkamah tetapi pendekatan kita sekarang (penyelesaian isu PETRONAS dan PETROS) ialah untuk mencari kaedah menang-menang,” katanya selepas merasmikan Minggu ADR 2025 (BAW) Persidangan Tuntutan ADR Sabah dan Sarawak 2025 (Tuntutan Pembinaan ADR Sabah dan Sarawak 2025) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla semalam agar AG dan Peguam Besar Negeri perlu diberi tanggungjawab dan duduk bersama berbincang seterusnya menasihati Kerajaan Pusat serta negeri dalam setiap pertikaian membabitkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak sebelum dilaporkan mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kerajaan negeri mendakwa sebuah loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) yang menyentuh aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli, telah beroperasi tanpa permit sah di bawah undang-undang.

PETRONAS turut mengesahkan anak syarikatnya, PCSB menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada 30 April lalu, berhubung pemprosesan dan pengedaran gas.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, rundingan berhubung isu minyak dan gas itu tidak menjejaskan rundingan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang berlangsung.

“Rundingan berhubung isu PETRONAS dan PETROS adalah satu perkara tetapi banyak lagi perkara lain yang sedang kita bincangkan. Banyak perkara juga yang telah kita selesaikan, jadi ia tidak menjejaskan rundingan MA63,” katanya.-BH Online