BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi menyelesaikan kelewatan berpanjangan projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II), bagi menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Projek Lebuhraya MEX 2 sepanjang 18 kilometer dimulakan pembinaannya pada 2016, dijadualkan siap pada Disember 2019, telah terjejas akibat masalah kewangan dan kini berada di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui projek lebuh raya itu berdepan isu aliran tunai berpanjangan yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan terhenti.
Bagaimanapun, Nanta berkata usaha sedang digiatkan bagi menghidupkan semula projek yang terbengkalai.
“Ya, seperti yang semua maklum, projek MEX II menghadapi isu penyempurnaan.
“Tetapi berita baiknya ialah semua pihak terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat berusaha menyelesaikan perkara ini,” katanya pada lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Nanta berkata, pemaju projek juga sedang mempercepat usaha mendapatkan sumber pembiayaan baharu bagi meneruskan semula kerja pembinaan.
“Buat masa ini, perkara ini masih berada dalam fasa penyelesaian, jadi saya tidak mahu mengulas secara terperinci lagi,” tambahnya.
Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat penting dijangka berlangsung dalam masa terdekat, yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
“Mesyuarat itu dijangka menentukan hala tuju seterusnya, kita akan lihat perkembangan selepas itu,” katanya.
Projek sambungan sepanjang 18 kilometer ke Lebuhraya Maju ini kembali menjadi perhatian awam susulan siasatan SPRM berhubung dakwaan tuntutan palsu membabitkan RM360 juta.
Media sebelum ini melaporkan bahawa empat individu, termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’, telah ditahan berkaitan siasatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diperoleh melalui penerbitan sukuk untuk projek tersebut.-BH Online