Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara kolektif melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap di Malaysia. 

GLIC yang memenuhi komitmen itu, di mana semua pekerja tetap warga Malaysia kini memperoleh lebih daripada gaji kehidupan wajar bulanan termasuk Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025, penanda aras gaji kehidupan wajar ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari 2025. 

Panduan Belanjawanku, yang dibangunkan bersama oleh KWSP dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk taraf hidup yang baik.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar adalah langkah penting untuk ‘menaikkan lantai’, bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Melaksanakan visi Ekonomi MADANI memerlukan pendekatan seluruh negara, dengan sektor korporat memainkan peranan utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendekatan gaji kehidupan wajar memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup individu, termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan, dan mekanisme simpanan.

Pelaksanaan komitmen gaji kehidupan wajar adalah sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI yang memerlukan usaha bersinergi daripada GLIC sebagai pemangkin pertumbuhan sektor ekonomi utama di Malaysia, dengan dua objektif ‘menaikkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’. 

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata PNB telah menyesuaikan penggajian semua tenaga kerjanya bagi memastikan semua pekerja kini memperoleh lebih daripada gaji kehidupan wajar. 

“Kami berbesar hati kerana dapat memenuhi komitmen terhadap inisiatif gaji kehidupan wajar. Fokus kami kini adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) strategik utama PNB. Pertamanya untuk mereka menerima dasar gaji kehidupan wajar, seterusnya melaksanakan dasar itu mengikut garis masa yang dipersetujui.”

“Sehingga kini, tiga daripada syarikat strategik kami telah mengeluarkan Dasar Gaji Kehidupan Wajar, dan menyasarkan semua syarikat strategik kami untuk menerima serta menyatakan komitmen kepada Dasar Gaji Kehidupan Wajar menjelang 2026,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata sayap pelaburan kerajaan itu memenuhi komitmen untuk menyediakan gaji kehidupan wajar kepada pekerja dan melibat secara aktif dengan syarikat-syarikat teras dalam pegangannya untuk melaksanakan amalan gaji kehidupan wajar dalam keseluruhan operasi.

“Khazanah percaya bahawa setiap individu harus mempunyai akses kepada pendapatan yang memastikan taraf hidup yang baik dan membolehkan penyertaan bermakna dalam masyarakat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata sebagai penjaga amanah simpanan persaraan untuk lebih 16 juta rakyat Malaysia, KWSP percaya tanggungjawab untuk memacu kecukupan pendapatan bermula dengannya. 

“Dengan memastikan semua pekerja memperoleh gaji kehidupan wajar, kami sedang memperkukuhkan misi organisasi untuk membina ekosistem persaraan yang berdaya tahan dan inklusif, yang bermula dengan gaji yang adil hari ini bagi memastikan pendapatan yang mencukupi pada hari esok,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed, berkata pelaksanaan gaji kehidupan wajar pernyataan yang jelas terhadap komitmen untuk meningkatkan taraf hidup pekerja KWAP, selaras dengan aspirasi nasional. 

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata komitmen terhadap gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 mencerminkan misi berterusan untuk melindungi dan meningkatkan mereka yang berkhidmat untuk negara, sama ada pasukan beruniform mahupun tenaga kerja awam. 

Sementara itu, TH melaksanakan inisiatif gaji kehidupan wajar dan akan berusaha untuk menambah baik dari masa ke masa. -BH Online