PUTRAJAYA: Malaysia dan Maldives berkongsi sentimen serta aspirasi supaya jenayah dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin oleh rejim Israel dihentikan segera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keberanian Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu mengambil keputusan melarang kemasukan individu yang memegang pasport Israel ke negaranya, adalah pendirian tegas yang amat berprinsip.
“Sejak kemerdekaan, Malaysia tidak pernah memberikan pengiktirafan kepada Israel, terutama disebabkan keengganan mereka menghormati hak asasi manusia, menunaikan komitmen antarabangsa dan menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Palestin, terutama di Gaza.
“Kita (Malaysia dan Maldives) berkongsi sentimen dan aspirasi yang sama, saya sudah menyampaikan bagi pihak kerajaan serta rakyat Malaysia, rasa hormat yang tinggi terhadap keberanian dan pendirian berprinsip beliau (Muizzu),” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Muizzu ke Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Muizzu berkata, Maldives tetap teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata, rakyat Palestin berhak memiliki negara yang merdeka berlandaskan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Kami mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan negara berdaulat,” katanya.
Terdahulu, Muizzu yang dalam lawatan empat hari ke Malaysia sejak semalam, diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini.
Sejurus sambutan itu, Anwar dan Muizzu mengadakan pertemuan empat mata sebelum menghadiri mesyuarat dua hala.
Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran nota (EoN) antaranya dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.-BH Online