Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEWCASTLE: Datuk Seri Fadillah Yusof berharap lebih banyak syarikat terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melihat potensi pelaburan di luar negara.

Memberi contoh TNB, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata beliau yakin potensi syarikat utiliti elektrik terbesar negara cukup besar untuk mengembangkan dan terus meningkatkan keupayaannya dalam bidang tenaga di luar negara cukup luas.

Beliau berkata ia terbukti melalui pelaburan TNB dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) di sini yang menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia melabur dan mengembangkan sayap di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelaburan itu dibuat menerusi syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd (Vantage RE).

“Syabas dan tahniah kepada TNB kerana meneroka dan mengembangkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa khususnya di United Kingdom (UK). UK ini luas termasuklah di Ireland, Scotland dan sebagainya. 

“Ini menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia yang akhirnya memberi pulangan bukan sahaja kepada TNB, malah kepada negara dari segi pelaburan luar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Blyth Offshore Windfarm di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pegawai Tenaga Baharu TNB, Mohd Zarihi Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd, Datuk Sharbini Suhaili.

Ladang angin luar pesisir berkapasiti 41.5 megawatt (MW) dan mula beroperasi pada 2017 itu terletak kira-kira 6.5 kilometer (km) dari pesisir pantai. Vantage RE memiliki 49 peratus pegangan saham BODL yang juga pemilik ladang berkenaan.

Vantage RE mengendalikan dan membangunkan portfolio aset tenaga boleh baharu (TBB) TNB sebanyak 1.3 gigawatt (GW) di UK dan Ireland. Pengurusan dan pembangunan aset TBB ini membabitkan kepakaran TNB bersama-sama kemahiran tempatan di UK.

Baru-baru ini, Vantage RE juga membina 100 MW ladang solar di UK yang akan dilengkapi dengan sistem penyimpanan bateri tenaga (BESS) pada masa depan. Dengan kemahiran yang diperoleh, TNB akan dapat menerajui dan menjadi pemangkin industri RE di Malaysia.

Mengenai penyertaan negara dalam Sidang Kemuncak mengenai Keselamatan Tenaga selama dua hari di Lancaster House yang berakhir Jumaat, Fadillah berkata ia peluang terbaik untuk Malaysia mempelajari teknologi terkini mengenai tenaga baharu.

“Ini peluang terbaik untuk negara bukan sahaja untuk belajar, malah pada masa sama mengembangkan dan berkongsi pengalaman dengan negara lain. 

“Inilah peluang untuk syarikat kita mengembangkan sayap mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sidang kemuncak berkenaan memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, mengembangkan jalinan dari segi teknologi dan kepakaran.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK serta menghimpunkan pembuat keputusan global bagi merangka dan membentuk tindakan ke arah masa depan keselamatan tenaga.-BH Online