Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Barisan Nasional (BN) meneruskan legasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila menang dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini. 

Dalam saingan tiga penjuru itu, calon BN – Dr Mohamad Yusri Bakir, mendahului wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM). 

Selepas undi daripada 63 saluran membabitkan 19 pusat mengundi dikira, BN meraih 5,006 majoriti undi apabila memperoleh 11,065 undi, berbanding PN (6,059 undi) dan PSM (1,106 undi).

Sehingga pengundian ditutup pada jam 6 petang, jumlah keluar mengundi ialah 58.07 peratus daripada keseluruhan 31,893 pengundi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, selepas penjumlahan undi daripada semua saluran selesai. 

Beliau juga mengumumkan sebanyak 289 kertas undi yang ditolak pada PRK berkenaan. 

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

Ayer Kuning ialah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Tapah. 

Ini adalah PRK ke-11 selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor). 

Pengundian awal bagi PRK DUN Ayer Kuning berlangsung Selasa lalu, membabitkan 500 anggota polis dan pasangan, selain 116 kertas undi pos dikeluarkan pada 14 April.

Mengulas kemenangan itu, Mohamad Yusri berterima kasih kerana memberi peluang kepadanya untuk menggalas tugas sebagai bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning.

Bapa kepada empat anak itu bertekad untuk menunaikan setiap perincian manifesto BN demi keselesaan dan kebaikan masyarakat majmuk di kawasan berkenaan.

Beliau juga bakal menganjurkan sesi bersarapan dengan rakannya di Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh untuk menghargai sokongan mereka sepanjang PRK berkenaan.

“Saya juga berterima kasih kepada petugas media yang membantu dan memberi kerjasama baik kepada saya sepanjang tempoh berkempen bagi PRK berkenaan.

“Kita jangan bermusuh dengan takdir, selepas berusaha dan akhir sekali bertawakal kepada Allah. Jangan buat sesuatu di luar kehendak-Nya,” kata Setiausaha UMNO Tapah itu.-BH Online