KAJANG: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyifatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang muncul antara terbaik dalam sejarah peperiksaan itu, membuktikan kualiti pendidikan negara kini semakin tinggi.
Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mengambil langkah penting sebagaimana dilaksanakan sebelum ini terutama berkaitan segmen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi itu, bagi menambah baik keputusan SPM pada masa depan.
Beliau memaklumkan antara segmen akan terus diberi tumpuan ialah kehadiran calon peperiksaan dan merapatkan lagi jurang keputusan antara bandar dengan luar bandar.
“Kehadiran (calon) ialah antara (penambahbaikan) yang cukup signifikan. Intervensi yang kita lakukan sedikit sebanyak dapat mengurangkan (ketidakhadiran), begitu juga dengan jurang (keputusan)… (penambahbaikan) dapat dilihat secara signifikan dan kita akan teruskan.
“Tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Kita berjaya pada tahun ini, maknanya yang layak mendapat sijil juga meningkat. Oleh itu, saya fikir ada banyak segmen untuk ditambah baik dan kita mengambil serius perkara ini bagi memastikan keputusan akan datang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Kajang, di sini, hari ini.
Keputusan SPM 2024 merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, dilaporkan berkata bilangan calon mendapat sekurang-kurang kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut meningkat kepada 86,040 orang berbanding 83,112 pada 2023.
Mengulas lanjut, Fadhlina berharap peningkatan prestasi SPM berkenaan akan memberi semangat kepada guru untuk terus menguasai dan memberi tumpuan terhadap kualiti pelajaran dalam kelas, selain memfokus segmen yang perlu ditambah baik.
Beliau juga meminta semua calon agar menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi walau apapun keputusan yang diperoleh.
“Peluang itu ada di negara ini dan insya Allah, kita akan memberi sokongan penuh kepada anak-anak semua,” katanya.
Berhubung kenyataan KPM bahawa majlis pengumuman dan penyerahan slip keputusan SPM pada peringkat sekolah perlu membabitkan semua calon yang mengambil peperiksaan dan bukan hanya sebahagian kecil mereka yang meraih keputusan cemerlang pula, Fadhlina menjelaskan apa saja keputusan diperoleh seseorang calon itu menyumbang kepada gred purata sekolah, negeri serta daerah.
“Mereka sudahpun berusaha mendapat keputusan masing-masing dan ada sumbangan kepada kelayakan, kepujian, kelulusan serta kejayaan cemerlang.
“Saya yakin semua keputusan anak-anak kita raikan dengan penuh rasa bangga, dan keputusan itu memberi semangat kepada mereka untuk menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.-BH Online