PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji dan meneliti tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sendiri akan memberi kenyataan penuh berhubung perkara itu di Parlimen pada 5 Mei ini.
“Itu semakan semula (oleh IMF) di peringkat antarabangsa, untuk dunia, untuk Amerika Syarikat (AS), China dan kebanyakan negara dan ia sedikit menurun.
“Kami (kerajaan), Bank Negara Malaysia dan Perbendaharaan akan meneliti dan mengkajinya semula dan saya akan umumkan, saya akan beri kenyataan penuh di Parlimen pada 5 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini, hari ini.
Selain JKDM, Perdana Menteri sebelum itu turut meluangkan masa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa di sini.
Anwar meluangkan masa hampir setengah jam menikmati juadah hari raya serta beramah mesra bersama warga KDN.
Semalam, media melaporkan IMF menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi tahun 2025 kepada 4.1 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum ini, selari dengan semakan penurunan unjuran pertumbuhan di seluruh rantau ini.
Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk ‘Persimpangan Kritikal di Tengah Peralihan Dasar’, IMF turut menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 3.8 peratus pada 2026.
IMF juga menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global 2025 kepada 2.8 peratus, iaitu 0.5 mata peratusan lebih rendah berbanding anggaran Januari lalu.
Dalam kalangan rakan serantau Malaysia, IMF menyemak turun unjuran pertumbuhan Indonesia bagi 2025 kepada 4.7 peratus daripada 5.1 peratus, Filipina kepada 5.5 peratus daripada 6.1 peratus, manakala Thailand dijangka berkembang 1.8 peratus berbanding 2.9 peratus sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan Anwar dijangka menyampaikan kenyataan pada Sidang Khas Parlimen yang berlangsung 5 Mei ini, berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia.
Perkara itu disahkan Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan sidang khas berkenaan akan berlangsung di Dewan Rakyat bermula jam 11 pagi.-BH Online