PUTRAJAYA: Sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan 2025 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei ini, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ itu yang menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung.
“Program (sambutan) akan bermula 28 April menerusi penganjuran Karnival Hari Pekerja, membabitkan pelbagai acara termasuk karnival dan pameran kerjaya, latihan kemahiran serta sebagainya,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Prapelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau menjemput orang ramai memeriahkan sambutan bermula 28 April dengan antara program dijangka menarik perhatian ialah Karnival Kerjaya Mega yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan termasuk sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu, turut diadakan ialah tawaran diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus.
Ditanya kemungkinan terdapat sebarang pengumuman penting pada sambutan itu, Sim berkata, beliau dan Perdana Menteri dijadualkan menyentuh beberapa perkara pada hari itu.
Sementara itu, KESUMA dalam kenyataan berkata, kementerian akan melancarkan secara rasmi aplikasi MYFutureJobs: Langkah Progresif Perkasa Pencari Kerja versi mudah alih, pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan itu.
Aplikasi itu diperkenalkan sebagai inisiatif penting ke arah pendigitalan sistem buruh negara dan bakal menjadi medium utama memperkasakan pencari kerja dengan dilengkapi padanan pekerjaan lebih pantas dan efisien, notifikasi segera peluang pekerjaan serta reka bentuk mesra pengguna.
“Pelancaran ini satu langkah strategik dan progresif dalam menyokong ekosistem pekerjaan digital lebih inklusif, responsif serta mampan selaras hasrat Malaysia MADANI,” katanya. – BERNAMA