Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan MyDigital ID secara meluas dalam urusan pembayaran saman trafik. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun penggunaan MyDigital ID tidak diwajibkan namun ia termasuk dalam dasar kerajaan.

Kerajaan juga bersetuju melakukan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID bagi memastikan peningkatan penggunaan aplikasi itu pada masa akan datang.

“Perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan belum diluluskan di Parlimen. 

“Kita menggalakkan mereka (pengguna) menggunakan aplikasi itu bagi mengesahkan identiti dalam satu urusan,” katanya dalam ucapan pada Jamuan Raya PDRM di Stadium Titiwangsa, hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. 

Semua urusan membabitkan JSPT selepas ini akan mengutamakan orang ramai yang berdaftar dengan MyDigital ID. 

“Jika sebelum ini, JSPT bermurah hati memberi tawaran diskaun saman sehingga 50 peratus namun bagi mereka memiliki aplikasi itu kita akan bagi lebih lagi mungkin dalam 55 peratus.

“Untuk mendaftar MyDigital ini mudah sahaja hanya menggunakan telefon bimbit dan sekejap sahaja proses pendaftaran,” katanya. -BH Online