JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan supaya hubungan Malaysia-Indonesia bukan hanya berkisar kepada kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, sebaliknya lebih memfokus kepada hubungan rakyat dengan rakyat.
Beliau percaya hubungan rakyat kedua-dua negara yang dipererat dan diperkukuh mampu memberikan ‘dividen politik’, selain pulangan perniagaan serta perdagangan yang baik untuk Malaysia dan Indonesia.
“Di samping kita mempertahankan rasa kebersamaan antara Malaysia dengan Indonesia, kita jangan hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin dan nilai-nilai sentimental.
“Justeru, hubungan ini bukan hanya kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, tetapi lebih kepada hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, malam tadi.
Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari.
Mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) pula, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 harus mendorong semua negara anggota blok itu meningkatkan kerjasama dalam menangani isu berkenaan.
Majlis malam tadi menghimpunkan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Indonesia, serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi secara langsung dengan Ahmad Zahid, sekali gus mengeratkan hubungan antara komuniti Malaysia di luar negara.
Terdahulu, ketibaan Ahmad Zahid bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, disambut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, dan Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason.
Acara dimulakan dengan lagu kebangsaan dan doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Syed Mohamad Hasrin dalam semangat Aidilfitri yang mempamerkan budaya Malaysia dengan tetamu mengenakan pakaian batik.-BH Online