KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu diperkasakan agar menjadi pemacu utama dalam usaha negara menangani isu perubahan iklim dan melaksanakan agenda pembangunan mampan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata anak muda adalah aset terpenting negara serta berperanan besar dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih lestari.
“Malaysia mempunyai belia yang berbakat. Namun apa yang penting ialah memastikan mereka diberikan perhatian, sokongan serta ruang untuk berkembang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Festival JCI Inspire 2025, semalam.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar kementerian itu, Dr Pubadi Govindasamy.
Dalam ucapannya, Nik Nazmi turut mengumumkan pelancaran Sustainable Business Challenge for Youth bawah inisiatif i-Green Warriors yang bertujuan menggalakkan belia mengemukakan idea berteraskan kelestarian alam dan keusahawanan.
“Inisiatif ini akan membuka peluang kepada anak muda untuk membentangkan cadangan yang menggabungkan prinsip hijau dengan pemikiran usahawan, iaitu satu kemahiran penting dalam membangunkan ekonomi yang tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran festival berkenaan yang disifatkan bukan sekadar kempen kesedaran biasa, sebaliknya menyediakan platform bermakna seperti pameran ESG, dialog belia dan program i-Green Warriors.
“Inilah contoh program yang memberi ruang kepada suara dan tindakan. Ia bukan sekadar mengenai kain rentang serta gerai, sebaliknya harapan dan peranan belia dalam mencorak masa depan,” katanya.
Selain itu, Nik Nazmi mengulangi komitmen kerajaan untuk terus menyediakan ekosistem yang menyokong pembangunan mampan serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Namun, beliau berkata, kejayaan agenda itu turut bergantung pada kerjasama erat dengan generasi muda yang sentiasa tampil dengan pendekatan segar dan progresif.
“Langkah seterusnya dalam agenda iklim negara akan datang daripada belia, dan keupayaan kita untuk mendengar serta bekerjasama dengan mereka.
“Teruskan bercucuk tanam, berinovasi dan bersuara. Alam sekitar kita memerlukan pejuang, dan masa depan negara memerlukan anda semua,” katanya.-BH Online