Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Forum Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan diadakan di Johor, esok melalui kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura serta Kerajaan Negeri Johor. 

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan kekuatan pelengkap antara Malaysia dan Singapura, JS-SEZ dijangka menjadi kuasa pelaburan ASEAN yang seterusnya.

Katanya, forum ini memperlihatkan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, yang turut melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Invest Johor, Enterprise Singapore (EnterpriseSG), Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) serta Kumpulan CIMB dan Kumpulan Maybank sebagai rakan strategik.

“Acara ini mendapat sambutan luar biasa dengan hampir 1,000 peserta yang mendaftar,” katanya.

Dengan tema ‘JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rangkaian Bekalan’, forum ini akan menghimpunkan pembuat dasar tertinggi, pemimpin perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelabur institusi dan wakil industri, menjadikannya salah satu forum terbesar mengenai kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Salah satu sorotan utama Forum Perniagaan JS-SEZ adalah peluang peserta untuk mendengar pandangan pertama mengenai JS-SEZ daripada pembuat dasar tertinggi termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan & Industri Singapura, Gan Kim Yong; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Zafrul Aziz, yang juga merupakan hos utama acara ini.

Tiga sesi perbincangan panel pada hari pertama akan menampilkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar subjek yang akan berbincang mengenai potensi unik dan peluang pertumbuhan JS-SEZ. 

Perbincangan akan merangkumi tema-tema seperti Menggalakkan Pengembangan Perniagaan dan Transformasi Bakat serta Teknologi; Inovasi & Penciptaan Kekayaan dalam Hubungan Malaysia-Singapura dan Membina Rangkaian Bekalan yang Sedia untuk Masa Depan.

Perbincangan ini akan memberikan pandangan dan cadangan bernilai daripada pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai hab strategik serantau untuk pelaburan, inovasi dan pertumbuhan mampan, bukan sahaja untuk Malaysia dan Singapura, tetapi juga untuk seluruh ASEAN.

Onn Hafiz yang menyatakan keyakinan terhadap JS-SEZ berkata, Johor dan Singapura telah lama menjadi rakan ekonomi.

Beliau berkata, JS-SEZ akan membuka lebih banyak potensi untuk menyumbang kepada cita-cita Johor menjadi hab serantau untuk sektor-sektor seperti ekonomi digital, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan maju, agroteknologi, pelancongan dan logistik. 

“Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan dasar pro-perniagaan kami terus menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan hijau yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, sambil meningkatkan usaha kami untuk pertumbuhan mampan di Johor,” katanya. 

Sementara itu, Tengku menekankan kepentingan geoekonomi strategik JS-SEZ, terutamanya dalam memajukan agenda ekonomi ASEAN. 

Beliau berkata, perubahan pesat dalam susunan dunia global memerlukan negara seperti Malaysia dan negara ASEAN lain untuk beroperasi dengan bukan sahaja dengan tangkas dan fleksibel, tetapi juga berdaya tahan. 

“MITI mengharapkan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor, MTI dan pemegang kepentingan utama yang lain untuk menjadikan JS-SEZ destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti. Inilah yang akan memacu pertumbuhan, pekerjaan dan inovasi pada masa hadapan dalam ASEAN,” katanya

Sorotan lain dalam forum ini adalah pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU pertama membabitkan Terminal Tenaga Pertamina (PET) dan Pelabuhan Tanjung Langsat (TLP), untuk kerjasama ‘bunkering’ hijau, dengan sasaran tiga juta tan jumlah perdagangan menjelang 2025.

MoU kedua adalah Maybank dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), bagi kerangka pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan akses modal dan sokongan pembangunan perniagaan dalam JS-SEZ.-BH Online